Petang tadi, lepas balik dari Hospital Pakar Perdana untuk buat ujian glukos, sempat saya keliling kawasan rumah yang baru didiami tak sampai 10 hari ni.
Betul-betul sebelah rumah ni ada beberapa rumpun pokok buluh madu yang ditanam oleh abah, ditanam sebagai hiasan dan juga untuk makan rebung buluh madu juga. Rebung buluh ni sebenarnya tiap-tiap hari tumbuh. Sedap dimasak bersama kari, gulai, dalca dan macam-macam. Paling cikai pun, celur dan cicah budu atau sambal belacan. Ada masa abah ambil dan agih-agihkan kepada jiran. Ada masa bila dah terlampau banyak, dia letak je kat pasar.
Jika beberapa bulan lepas saya jumpa Cendawan Morell depan rumah lama kami di Serdivan, Turki. Hari ni, ngam-ngam depan rumah ni juga tumbuh cendawan ni. Saya tak pasti apa nama cendawan ni. Bila tanya pekerja yang duk buat home improvement kat kaki lima rumah saya ni, dia cakap Cendawan Susu Pelanduk. Tapi mana ada pelanduk dalam bandar Kota Bharu ni.
Elok je jumpa cendawan-cendawan ni, terus cepat-cepat saya telefon umi dan bagitahu dia. Dah faham sangat dah, umi saya dan cendawan berpisah tiada. Memang makanan kegemaran dia sangat-sangat. Terus dia datang sini dan kutip bersama. Seronok tengok dia teruja.
Saya masih tak berapa jelas spesisnya. Yang paling logik ialah Cendawan Jerami, sebab ia tumbuh bawah pokok buluh. Mungkin kesan dari hujan lebat beberapa hari ni, di tambah pula ada daun-daun buluh kering yang luruh. Itu yang saya fikir lah.
Rasanya manis-manis dan sedap, kata umi saya. Saya belum cuba, esok baru nak cuba makan. Yang ni saya berani makan sebab ada semut di sekitar kawasan tempat ia tumbuh tu. Yang Cendawan Morel dulu tu tak berani makan sebab bentuknya yang sangat pelik. Lagipun, bentuk cendawan ni memang seakan-akan jenis-jenis cendawan yang dah biasa saya makan, antaranya Cendawan Busut, dan Cendawan Paha Ayam.
Harap tumbuh lagi lah lepas ni. Bukan senang nak dapat cendawan liar yang sedap, tiba-tiba muncul depan mata begini.
Mungkin rezeki mak buyung juga 🙂
Patutla ada peribahasa cendawan tumbuh selepas hujan ya puan siti
Ha’ah betul tu. Elok lepas hujan je benda ni muncul
belakang rumah saya selalu je lepas hujan banyak kulat sisir. spesis cendawan jugak tu kan?
sedap buat goreng pecah telur.hehe
yup, yang tu pun antara cendawan kegemaran saya, lagi-lagi klu yang tumbuh di batang pokok getah. sedap tu.
wahh..
untunglah ada cendawan depan rumah.